Pages

Friday, December 31, 2010

Cerpen 1 : Masih Ada Yang Sayang

Baru-baru ni my mom selongkar semua majalah sekolah lama kitorang. So temankan la my mom tengok sekali. Then selongkar pulak satu box besar tempat simpan segala barang-barang lama. Terjumpa la my cerpen ni. Cerpen ni first cerpen yang ditulis. Kalau tak silap waktu form 1 or form 2.Dalam tahun 2000 or 2001 camtu la. Cerpen ni ditulis untuk masuk pertandingan Sayembara Cerpen Remaja Perpaduan Kebangsaan. My best friend pon masuk jugak. Tapi dapat hadian misteri aje la. Bila baca balik, rasa macam kelakar pon ada jugak. Gaya penulisan tak matang lagi la katakan...Hehehe... Sekarang ni rasa macam nak menulis balik, tapi masa terluang tu tak banyak. Maybe kalau idea datang, boleh mencelah juga la. At least, sikit, lama-lama dapat siap juga kan..

*********************************
MASIH ADA YANG SAYANG

            "Ira, Amir, jangan ganggu papa drive. Cuba duduk diam-diam sikit", Datin Norizah menegur kelakuan dua anaknya yang nakal. Sejak awal perjalanan, hatinya kecilnya merasa cukup gelisah tetapi tidak pula dia pasti akan sebabnya. Perjalanan ke Kangar, tempat kelahiran Datuk Hamzah yang mengambil masa hampir lima jam itu cukup meresahkan buatnya.

            "Zah, rehatlah dulu. Masih jauh lagi ni. Zah pun pasti letih kan", tiba-tiba Datuk Hamzah bersuara apabila melihat isteri kesayangannya itu kegelisahan. Datin Norizah cuba untuk memaksa matanya agar terpejam, namun kerisauan yang bertandang di hati menghalang lenanya.

            Kepenatan yang menguasai diri akhirnya membuatkannya kalah dan dia terlena jua akhirnya. Amir yang merupakan anak bongsu kepada Datuk Hamzah dan Datin Norizah juga telah lama hanyut dibuai mimpi, namun Zakira pula masih asyik membaca novel yang baru dibelinya semalam. Perjalanan yang sunyi dan membosankan itu akhirnya turut membuatkan Zakira terlena. Datuk Hamzah terus memandu dengan berhati-hati. Dia menyedari bahaya yang bakal menimpa sekiranya dia terlalai walau satu saat sekalipun, nyawa mereka sekeluarga akan melayang. Ketika itu mereka berada di lebuhraya yang terdapat gaung yang dalam di kira dan kanan sepanjang perjalanan mereka. Lebuhraya agak lengang tetapi suasana malam yang gelap ditambah pula dengan hujan lebat yang mengiringi sedikit mengganggu tumpuan Datuk Hamzah pada pemanduannya.

            "Papa!"

            Jeritan Zakira yang nyaring membuatkan Datuk Hamzah tersentak. Serentak itu juga kereta berjenama Mercerdes Benz Coupe yang dipandunya tidak mampu dikawal lagi dan terus merempuh tembok jalan.

            "Ira".
            Satu usapan yang lembut yang menyapa di bahunya membuatkan ingatannya pada tragedi ngeri itu berlalu pergi.

            "Ira, hari dah senja ni. Mari Kak Nita hantarkan Ira ke bilik".

            Wajah penyelia asrama itu ditatap dengan rasa sayu. Ada rasa sebak yang bertandang dan menyesakkan dadanya. Tanpa dapat ditahan lagi air matanya terus mengalir membasahi pipi.

            "Ira tak mahu tinggal di sini! Ira tak mahu tinggal di rumah anak-anak yatim! Ira nak tinggal di rumah. Dengan mama, dengan papa dan Amir".

            Tersentuh hati kecil penyelia muda itu. Dipeluknya Zakira dengan seerat-eratnya dengan harapan dapat meredakan gelora di hati anak kecil itu. Setelah tangisan Zakira reda, tangannya terus mencapai tongkat yang berada di sisi bangku tempat mereka duduk. Rasa benci hadir menyerbu ke benak rasa Zakira. Dia amat benci melihat tongkat itu. Kemalangan yang meragut nyawa ahli keluarganya yang tersayang turut mengakibatkan tulang kakinya patah. Namun tiada apa yang mampu dilakukannya tanpa tongkat itu. Perlahan-lahan dia mnyambut huluran tongkat dari Kak Nita. Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke blok asrama yang menjadi tempat berteduh Zakira.

            Selesai sahaja menunaikan solat Isyak, Zakira terus merebahkan badannya ke atas katil. Pandangannya menerawang pada syiling. Masih terbayang di ruangan matanya akan tragedi yang menimpanya itu. Sedang asyik mengelamun, tiba-tiba fikirannya teringatkan seseorang yang telah lama tidak ditemuinya.

            "Di mana Abang Nizam sekarang? Bagaimana keadaannya? Bila Abang Nizam mahu pulang? Tahukah Abang Nizam akan keadaan yang terjadi ini?".

            Berbagai soalan datang menerpa di fikirannya. Baru sekarang dia teringat pada abangnya yang sulung. Telah sekian lama abangnya itu menyambung pengajian ke Australia dalam bidang kejuruteraan dan tidak pernah pulang ke Malaysia. Pabila kembali difikirkannya, dia menyedari yang dirinya lebih beruntung berbanding penghuni-penghuni yang lain di rumah itu.


           Hari kian berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan terus berganti, namun Zakira tetap tidak dapat membiasakan dirinya dengan persekitaran di situ. Dia merasa sedikit beruntung kerana Fatin, teman baiknya di rumah itu sentiasa ada di sisi ketika dia memerlukan teman. Baginya hanya Fatin yang memahami apa yang dirasainya. Keadaan kakinya juga kian sembuh.


          Pada suatu hari, Zakira telah dipanggil Kak Nita ke pejabat pengurusan. Kak Nita memberikan teguran dan menasihatinya agar bergaul dengan semua penghuni-penghuni di rumah itu kerana mereka di situ diibaratkan seperti satu keluarga. Selain itu juga, dia diwajibkan untuk menyertai mana-mana pasukan sukan yang terdapat di rumah itu. Oleh kerana Fatin merupakan ahli pasukan bola jaring, Zakira mengambil keputusan untuk turut menyertai pasukan bola jaring walaupun hatta bola jaring itu belum pernah disentuh olehnya walau sekalipun sebelum ini.


           Hari pertama menjalani latihan bola jaring, Zakira melakukan banyak kesalahan dan dia diberikan teguran oleh Kak Nita agar lebih bersemangat kesukanan. Pada latihan yang berikutnya, Zakira cuba melakukan yang terbaik namun dia seringkali terjatuh disebabkan kakinya yang masih belum begitu kuat. Namun demikian, kesibukannya menjalani latihan bola jaring pada setiap petang menghalangnya dari terus termenung dan mengingati sejarah lampau. Tidurnya pula lebih lena dan tidak lagi dihantui oleh mimpi-mimpi ngeri.


           Setelah sekian lama menjalani latihan bersama pasukan bola jaring, Zakira akhirnya berjaya menyertai satu perlawanan persahabatan dengan rumah anak-anak yatim yang lain.


           Hari yang dinanti-nanti tiba jua. Perlawanan dimulakan tepat jam 4.25 petang. Perlawanan berlangsung dengan rancak. Ketika waktu rehat selepas separuh masa yang pertama, Zakira dan ahli pasukannya yang lain mendengar strategi yang diaturkan oleh jurulatih pasukan mereka. Zakira diberikan teguran oleh jurulatihnya kerana cuai sehingga menyebabkan pihak lawan berjaya mengatasi mereka dengan jaringan gol sebanyak 10 - 5. Posisinya sebagai pemain pertahanan yang dianggap tonggak kepada kekuatan pasukan amat penting dalam menentukan keputusan perlawanan.


            Perlawanan diteruskan kembali. Zakira memberikan sepenuh tumpuan kepada perlawanan yang sedang berlangsung, namun ketika perlawanan hampir tamat, sekali lagi Zakira telah melakukan kesalahan sehingga pasukan mereka mengalami kekalahan teruk dengan mata jaringan sebanyak 7 - 15. Kerana kesalahannya itu, Zakira terus dipersalahkan oleh ahli pasukannya yang lain.


            "Apa yang kau fikirkan ketika game tadi Ira? Kau sepatutnya tumpukan perhatian kau pada game. Fokus. Nasib baiklah game hari ni cuma perlawanan persahabatan saja. Kalau perlawanan yang betul...".


            Zakira tidak mampu untuk terus menadah telinga mendengar kata-kata amarah dari rakan-rakan sepasukannya itu. Hatinya terasa begitu pedih kerana dia telah mencuba sedaya upaya untuk membantu pasukannya mencapai kemenangan. Semenjak dari hari itu, terasa seperti dirinya semakin jauh dari rakan-rakannya itu. Dia merasakan seolah-olah dirinya dipulaukan oleh rakan-rakan yang lain.


            Sedaya upaya Zakira cuba untuk menyembunyikan rasa hatinya itu dari pengetahuaan sesiapapun. Zakira menjalani latihan bola jaring seperti biasa. Namun Rakan karibnya, Fatin dapat merasakan perubahan sikap Zakira yang lebih banyak mendiamkan diri. Telah banyak kali Fatin berusaha memujuk Zakira untuk menceritakan masalah yang dihadapinya namun semuanya hampa.


            Dalam suatu latihan, kaki Zakira telah terseliuh ketika berlakunya perebutan bola dengan rakan pasukannya, Illa. Fatin yang merupakan penjaga gol segera menerpa ke arahnya apabila terdengar sahaja jeritan Zakira. Rakan-rakan yang lain turut mengerumuninya. Zakira segera diusung ke biliknya. Kak Nita menyapu ubat serta mengurut bahagian kakinya yang terseliuh. Mengalir air matanya menahan kesakitan ditambah rasa sebak yang menghimpit perasaan. Sangkaannya meleset sama sekali bahawa rakan-rakan pasukannya itu telah membenci dirinya. Hubunganya yang tidaklah begitu erat dengan rakan-rakan penghuni di rumah itu ditambah pula dengan kecuaiannya ketika perlawanan tempoh hari membuatkannya merasa jauh dari rakan-rakan yang lain. Akan tetapi baru disedarinya bahawa rakan-rakannya tidak pernah menyalahkan dirinya atas kecuaiannya itu. Mungkin sudah fitrah manusia yang suka mencari kesalahan orang lain membuatkan mereka menjadikan Zakira sebagai penyebab kepada kekalahan pasukan mereka. Namun ianya tidak berpanjangan kerana kalah dan menang adalah adat dalam pertandingan.


            Zakira meminta maaf dengan semua rakan-rakannya kerana beranggapan buruk kepada mereka. Semenjak itu, barulah Zakira benar-benar merasakan bahawa dia dan penghuni-penghuni yang lain di rumah itu bagaikan satu keluarga. Kehidupannya mula berubah ceria dan hari-hari yang berlalu dilaluinya dengan gembira. Mereka sama-sama berkongsi nasib yang sama. Segala-galanya mereka kongsi bersama. Segala kenangan yang pahit dalam hidupnya mulai luput sedikit demi sedikit dari ingatannya. Zakira juga terus aktif bermain bola jaring yang kini telah menjadi sukan kegemarannya.


           Suatu petang, ketika Zakira sedang berlatih bola jaring bersama rakan-rakanya, Kak Nita memanggilnya untuk segera hadir ke pejabat pengurusan. Sepanjang perjalanan menuju ke pejabat pengurusan, akalnya tidak henti memikirkan apakah kesalahan yang telah dilakukannya. Kegelisahan di hati cuba dikurangkan dengan menghayati pemandangan alam sepanjang perjalanan yang ditempuhinya itu. Tiba di hadapan pintu pejabat, Zakira berdiri kaku. Terasa ragu-ragu untuk terus melangkah masuk. Namun digagahkan juga dirinya untuk berhadapan dengan kenyataan.


            Sebaik sahaja pintu dibuka, pandangannya terpaku pada seorang pemuda. Pandangan terus terpaku pada sesusuk tubuh yang amat dikenali dan dirinduinya itu. Terasa ingin menjerit memanggil nama pemuda itu. Namun tiada suara yang terkeluar dari mulutnya. Hanya air matanya yang mengalir keluar perlahan-lahan membasahi pipinya. Pemuda itu yang terkejut melihat reaksinya segera berdiri dan menuju ke arahnya. Badannya dipeluk erat.


            "Abang Nizam....", hanya itu perkataan yang terkeluar dari mulut Zakira.


            Lama mereka kaku berpelukan. Ada rasa sebak, gembira dan sedih. Semuanya bercampur baur dalam hati Zakira ketika itu. Abang Nizamnya turut sama mengalirkan air mata ketika itu.


             Kak Nita yang hanya menjadi pemerhati kelakuan mereka dua beradik buat beberapa ketika akhirnya mempelawa mereka untuk duduk di sofa. Zakira mendengar cerita dari Abang Nizamnya bagaimana sukarnya hidup di perantauan. Abang Nizam tidak pernah melupakan dirinya walaupun sedetik waktu yang berlalu. Kehidupan Abang Nizam amat sukar setelah kematian kedua orang tua mereka. Abang Nizam terpaksa mencari kerja sambilan untuk menampung kos perbelanjaan hidupnya. Azamnya cuma satu. Dia akan kembali dengan kejayaan dan memberikan kehidupan yang baik buat satu-satunya ahli keluarga yang dimilikinya kini, Zakira.


            Kini baru Zakira mengetahui dan mengerti akan apa yang telah terjadi. Baru disedarinya pengorbanan yang telah dilakukan Abang Nizam adalah kerananya. Dipeluk abangnya itu seerat-eratnya. Zakira diberitakan bahawa abangnya itu mahu dia tinggal bersamanya. Tambahan pula Abang Nizam telah mendapat pekerjaan yang bagus setaraf dengan kelayakannya. Sememangnya Zakira ingin tinggal bersama abangnya itu, namun terasa pilu untuk meninggalkan rumah tempat dia menumpang kasih dan berkongsi rasa dengan teman-teman yang senasib dengannya. Namun dia terpaksa akur juga atas nasihat dari Kak Nita.


            Saat perpisahan tiba jua. Fatin merupakan orang yang paling sedih untuk berpisah dengannya.


            "Zakira, jangan lupakam kami di sini. Kami di sini semuanya sayangkan Zakira", Kak Nita bersuara mewakili semua penghuni rumah itu.


            Zakira berpelukan dan bersalaman dengan semua rakan-rakan penghuni rumah itu. Air matanya tidak mampu ditahan dari terus tumpah membasahi wajahnya. Terasa amat perit sebuah perpisahan. Zakira melangkah perlahan-lahan menuju ke kereta Proton Waja milik Abang Nizam. Di saat kereta Proton Waja itu embawanya pergi, rakan-rakannya memberikan lambaian kepadanya mengiringi perpisahan mereka. Zakira berazam akan datang melawat rakan-rakannya di rumah itu pabila ada kelapangan. Kini sinar kebahagiaan kembali menyinar di dalam kehidupannya. Impiannya untuk tinggal kembali bersama ahli keluarganya di rumah tinggalan kedua orang tuanya termakbul jua. Hari-hari yang mendatang bakal mengundang kebahagiaan ke dalam hidupnya. Mentari kembali memancarkan sinar cerianya dalam kehidupan Zakira.

***************************************
Hehehe, asyik tergelak sendiri je bila baca balik cerpen ni. Papepon, ianya tetap satu kenangan... :)


-PUTRISYAABAN-

No comments:

Post a Comment