Pages

Friday, October 7, 2011

Aku Untukmu (Prolog)

"Saat terpandang wajahmu, hatiku telah kau miliki"


"Ops, maaf, saya tak sengaja".
Cepat-cepat Syaziyah mengutip kertas-kertas yang bertaburan di atas lantai. Selesai sahaja, dengan pantas dihulurkan kertas-kertas tersebut kepada pemuda yang berada di hadapannya. Merah padam mukanya menahan malu. Dek kerana keadaan yang penuh sesak di dalam dewan menyebabkan die terlanggar pemuda tersebut. Habis semua kertas yang dipegang pemuda itu jatuh bertaburan.

"Takpe".
Pemuda itu sempat memberikan sekuntum senyuman sebelum beredar.

Syaziyah menarik nafas panjang. Cuba untuk menenangkan dirinya.

Hari ini adalah hari pendaftaran bagi pelajar-pelajar baru peringkat diploma. Dengan rasminya Syaziyah memegang gelaran sebagai siswi UiTM. Awal pagi lagi Syaziyah dan kedua ibu bapanya bertolak dari kampung. Syaziyah telah bertekad untuk mengejar cita-citanya menjadi seorang pensyarah matematik akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Syaziyah tercari-cari kaunter pendaftaran bagi kursus yang bakal diambilnya. Pantas kakinya melangkah menuju ke arah barisan yang panjang setelah ternampak tulisan "Pendaftaran Pelajar Diploma Sains Kuantitatif".

Tiba-tibanya pandangannya tertangkap pada pemuda yang dilanggarnya tadi.

"Alamak, mamat ni satu course dengan aku la pulak. Malunya aku".

Matanya tidak lepas dari memandang pemuda itu. Seolah-olah ada daya tarikan yang membuatkan pandangan matanya terus terarah kepada pemuda itu. Dewan yang sesak dan riuh rendah dengan suara orang ramai langsung tidak mengganggu fokusnya kepada pemuda itu. Sesekali ada senyuman yang terukir di bibir Syaziyah.

"Perhatian! Kepada semua siswa dan siswi, anda semua diminta berkumpul di dewan utama selepas selesai mendaftar untuk sesi taklimat daripada pihak pengurusan universiti. Ibu bapa turut dijemput hadir".

Syaziyah tersentak. Dia mengurut dadanya perlahan. Dia benar-benar terkejut, apatah lagi dengan pembesar suara yang betul-betul terletak di atas kepalanya. Tanpa sedar pemuda yang diperhatikannya sejak tadi telah tiada.

"Mungkin dia dah siap daftar kot. Bagus jugak kalau aku dapat jadi classmate dia. Gaya macam bijak je. Boleh ajar aku nanti", Syaziyah mula memasang niat sendiri.

Selesai mendaftar, Syaziyah dan kedua ibu bapa masuk ke dewan utama. Sekali lagi pandangan matanya tertangkap pada pemuda tersebut. Dia mengeluh sendiri.

************************************

Syaziyah merebahkan badannya di atas katil. Terasa amat penat kerana sepanjang hari terperangkap dengan kesesakan. Ibu bapanya telah bertolak pulang setelah selesai segala urusannya mendaftar sebagai pelajar baru di UiTM kampus Arau. Matanya memandang kosong ke atas, memandang syiling yang kosong. Fikirannya mula melayang. Bayangan pemuda siang tadi seolah-olah melekat di ruang ingatannya.

"Aish, kenapa dengan aku ni? Asyik terfikir pasal dia je".

Syaziyah bingkas bangun. Beg-beg pakaian dan barang-barang keperluan yang dibawanya masih belum berkemas. Segera ditarik beg pakaiannya, memulakan kerja-kerja mengemas barang-barang yang dibawanya.

Malam semakin larut. Badan terasa amat penat. Selesai berkemas dan mandi, Syaziyah kembali membaringkan badannya di atas katil. Rakan-rakan sebiliknya yang lain juga telah lama hanyut ke alam mimpi. Masing-masing telah kepenatan mengharungi lautan manusia. Bermula esok, mereka semua perlu mengikuti program orientasi selama seminggu.

Bayangan pemuda tersebut masih lagi terbayang-bayang di ruangan matanya. Setelah agak lama terkebil-kebil memandang syiling yang kosong, Syaziyah akhirnya terlena jua.

-PUTRISYAABAN-

No comments:

Post a Comment